Monday, March 15, 2010

Bertandang ke bumi Urdun

Amman,Jordan 13 Mac :

Misi seterusnya ialah di bumi Urdun iaitu Jordan.

Tiba di Queen Alia International Airport jam 7.30 malam setelah penerbangan selama 1 jam 20 minit dari Cairo Airport. Pemeriksaan oleh pihak Jordan ada masalah sikit, DS Nizar dikesan mempunyai masalah. Nama DS Nizar telah disenaraikan oleh pihak berkuasa Jordan sebagai nama-nama yang perlu disiasat. Setelah berbincang dengan pihak berkuasa sekitar setengah jam , kami dibenarkan keluar dari pusat pemeriksaan.
Kami disambut oleh pimpinan pelajar Jordan.

Kami seterusnya meneruskan perjalanan ke Mu'tah yang terletak di selatan Jordan . Perjalanan mengambil masa selama 1 1/2 jam untuk tiba di Mu'tah. Di sana menanti kami ialah seramai kira-kira pelajar Malaysia yang menuntut di Mu'tah Universiti. Laungan Takbir menyambut kami serta bendera PAS dikibarkan oleh penuntut yang menanti kami dengan penuh sabar kerana kelewatan kami di Airport.
Program Ramah Mesra serta dialog berjalan dengan suasana cukup baik. Para pelajar dijelaskan dengan isu-isu yang melanda Perak. Selepas program para pelajar mengambil peluang untuk bergambar dengan pimpinan. Kami bermalam di Mu'tah.

Selepas Subuh kami mengadakan pertemuan dengan pimpinan pelajar di Mu'tah. Sesudah itu kami meneruskan perjalanan ke Irbid yang berada di Utara Jordan. Dalam perjalanan kami sempat menziarahi makam syuhada' Mu'tah iaitu Jaafar Abi Talib, Zaid bin Harithah dan Abdullah Ibnu Rowahah.

Dalam perjalanan menuruni gaung yang amat curam dari Mu'tah, kami singgah berehat seketika di Laut Mati yang terkenal dengan kepekatan garam. DS Nizar dan YB Khalil mengambil peluang untuk berenang di Laut Mati. Berenang di sini sentiasa akan terapung. DS dan YB mengambil peluang melumur badan dengan lumpur yang dikatakan mempunyai khasiat dapat merawat kulit badan.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Amman untuk pergi ke Irbid. Di Amman kami singgah untuk solat di Masjid Ashabul Kahfi dan seterusnya melawat gua Ashabul Kahfi yang terletak bersebelahan masjid. Perjalanan diteruskan.

Kami tiba di Irbid sejurus masuk waktu Isya' dan disambut sekitar 50 orang pelajar bidang perubatan . Majlis dialog dijalankan dengan cukup baik. Kami bermalam di Irbid. Seterusnya kami bercadang untuk ke Syria. Tapi kami mengambil keputusan membatalkan untuk ke Syria kerana bimbang tak sempat penerbangan sebelah petang kerana kami difahamkan sekatan pihak berkuasa Syria agak ketat.

InsyaAllah petang ini kami akan berangkat ke Queen Alia Airport untuk kembali ke Mesir dan seterusnya penerbangan ke UK jam 9 pagi esok.

Bertemu kembali di UK nanti .... insyaAllah.

Irbid Jordan Isnin 15 Mac 2010 jam 7.00 pagi waktu tempatan = 1 tghari waktu Malaysia.

No comments:

Post a Comment