Thursday, April 16, 2009

Fikir & Renunglah !

Pihak Berkuasa Negeri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada bulan Mac yang lalu telah memutuskan bahawa semua Ketua Kampung dan JKKK ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa pada 16 April 2009.

Di daerah Kuala Kangsar Surat pemakluman penamatan perkhidmatan telah dihantar dan ditandatangani oleh Tuan Pegawai Daerah Kuala Kangsar kepada semua Ketua Kampung daerah Kuala Kangsar.

Dengan keluarnya surat ini, sahlah bahawa semua Ketua Kampung di seluruh Perak dipecat dan JKKK dibubarkan oleh kerajaan BN. Perkara ini bercanggah dengan kenyataan Zambry di awal-awal perlantikannya sebagai MB bahawa Ketua Kampung dan JKKK tidak akan ditamatkan perkhidmatan.

Ketua Kampung dan JKKK yang dilantik oleh kerajaan PR adalah sah sehingga tamat tempoh perkhidmatan selama dua tahun. Kerajaan boleh bertukar tetapi tidak semestinya Ketua Kampung dan JKKK juga bertukar sedangkan tempoh perkhidmatan mereka belum tamat lagi.

Berbeza sama sekali dengan amalan Kerajaan PR di bawah kepimpinan Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin. Hj Nizar di awal pemerintahan PR telah membuat kenyataan terbuka bahawa semua Ketua Kampung dan JKKK boleh terus berkhidmat dengan kerajaan negeri sehingga tempoh perkhidmatan mereka tamat pada 31.12.2008, tetapi seluruh Ketua-ketua Kampung melalui Pengerusi persatuan Ketua-ketua Kampung sendiri yang membuat kenyataan bahawa Ketua-ketua Kampung seluruh Perak tidak akan memberi kerjasama dengan Kerajaan PR walaupun mereka berkhidmat dengan kerajaan PR. Ini adalah kenyataan bodoh seorang Pengerusi Persatuan.

Hj Nizar telah memanggil semua Ketua Kampung seluruh Perak untuk diberi taklimat oleh Kerajaan Negeri di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan. Sebahagian besar Ketua-ketua Kampung hadir, dalam sessi dialog ada di kalangan Ketua Kampung bersetuju terus berkhidmat dan ada juga yang akan meletakkan jawatan. Hj Nizar menjelaskan bahawa semua Ketua kampung berhak menentukan sikap masing-masing, mereka diberi pilihan samada terus berkhidmat atau sebaliknya.

Selang beberapa minggu kemudian, semua Ketua Kampung seluruh Perak meletakkan jawatan beramai-ramai, surat perletakkan jawatan beramai-ramai ditandatangani oleh setiap Ketua Kampung dan diserahkan ke Pejabat Menteri Besar, ada juga Ketua kampung yang tidak bersedia meletakkan jawatan, mereka dipujuk, dirayu dan dipaksa oleh AJK Persatuan Ketua-ketua Kampung supaya letak jawatan, ada yang datang ke pejabat MB berjumpa saya dan MB menyatakan mereka tidak bersetuju meletakkan jawatan tetapi dipaksa oleh Persatuan.

Kerajaan Negeri tidak ada pilihan, perletakan jawatan beramai-ramai itu diterima oleh MB. Mesyuarat EXCO memutuskan kaedah pemilihan Ketua kampung di seluruh Perak dibuat melalui pungutan suara iaitu Ketua Kampung dipilih melalui pilihanraya. Sesiapa sahaja yang layak boleh dicalonkan dan di undi. Kaedah ini dilaksanakan di seluruh Perak kecuali di kampung-kampung yang Ketua Kampungnya tidak meletakkan jawatan. Bulan Ogos selesai proses pemilihan dan yang terpilih diberi watikah perlantikan oleh YAB MB Perak ketika itu, dan tempoh perlantikannya adalah selama dua tahun.

Ini adalah amalan yang paling adil dibuat oleh Kerajaan PR. Tradisi yang diamalkan oleh UMNO BN dulu ialah memberi kuasa kepada Ketua UMNO bahagian atau wakil rakyat untuk melantik Ketua Kampung, biasanya Ketua kampung yang dilantik ialah Ketua-ketua UMNO Cawangan yang sudah tentu ada yang tidak disenangi oleh orang-orang kampung. Berbeza dengan PR yang memberi peluang kepada orang kampung memilih Ketua Kampung yang mereka suka.

Apa salahnya mereka diberi peluang berkhidmat sehingga tempoh perkhidmatan mereka tamat, kerajaan berhak menentukan polisi dan dasar, mereka pula berkhidmat berdasarkan polisi dan dasar. Sebagaimana kerajaan PR, sewaktu kerajaan PR menawarkan Ketua Kampung zaman BN untuk terus berkhidmat, mereka hendaklah terikat dengan polisi dan dasar-dasar kerajaan, begitu juga Ketua-ketua Kampung yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya, yang terpilih tidak semua penyokong dan ahli mana-mana parti PR, semua yang terpilih mesti mengikut polisi dan dasar-dasar kerajaan PR.

Jelas kerajaan PR lebih terbuka sikapnya berbanding kerajaan BN, malahan supaya semua pembangunan dapat dilaksankan secara saksama, kerajaan PR negeri Perak juga telah menubuhkan JKKK di perkampungan Cina, malahan Ketua Kampung dan JKKK perkampungan orang-orang Asli juga akan ditubuhkan.

Hj Nizar selaku MB juga menunjukkan sikap keterbukaan yang begitu tinggi kepada semua kakitangan kerajaan, tidak ada yang dipecat, sebarang pertukaran yang ada unsur-unsur penganiyaan dan fitnah dibatalkan pertukaran. Dua orang pemandunya adalah pemandu MB lama, Hj Nizar mengekalkannya sehingga mereka sendiri yang telah berkhidmat selama 11 bulan itu terasa sangat sayang kepada MB Nizar, ada kelainannya kata mereka, menjadi pemandu Hj Nizar mereka dapat solat berjamaah dengan Hj Nizar dan ada peluang mendapat ilmu melalui tazkirah dan kuliah yang disampaikan oleh Hj Nizar di surau atau masjid. semua kakitangan di rumah kediaman tidak ada seorang pun yang ditukar, mereka terus berkhidmat dengan Hj Nizar sehingga mereka juga seronok, Hj Nizar buat surau yang agak besar bagi membolehkan semua pekerja di rumah kediaman solat berjamaah di surau dan sekali sekala MB akan mengimami solat dan menyampaikan tazkirah. Yang bertukar cuma PA Datin Seri yang kurang memberi kerjasama dengan Datin Seri.

Saya sebagai SETPOL juga tetap mengekalkan kakitangan pejabat, saya tidak tukar dan ganti orang lain, walaupun saya ada kuasa. PA saya juga dulu PA Najmuddin ketia beliau SETPOL kepada Tajol Rosli. Dulu PA tersebut adalah staf di JAIP yang dipinjamkan bagi membantu Najmuddin yang ada kaitan dengan JAIP. Saya boleh kembalikan dia di pejabat yang lama dan tukar orang PAS berkhidmat di situ. Tetapi saya tidak sampai hati berbuat demikian sebab dia dah seronok kerja dengan saya. Kawan-kawan yang datang mengunjungi saya sering bertanya mengapa tak ditukar staf lama, dia ni UMNOlah, dulu berkhidmat dengan Najmuddin, nanti dia sampaikan pada bos lamanya apa yang tak betul, saya jawab, kalau begitu dia tidak akan sampaikan pada bos lamanya, sebab apa yang saya buat betul. Ternyata dakwaan kawan -kawan semuanya prasangka sahaja. Jurutaip pejabat saya pun saya kekalkan, walaupun ada rungutan dari orang ramai kononnya staf saya yang seorang ini (wanita) serius dan strict, jarang senyum. Nak jumpa saya mesti melalui meja dia dulu, macam-macam ditanya, ada temu janji ke tidak, kena tunggu ikut giliran. Saya tetap kekalkan dia, walaupun dia street tapi bagus juga, kalau tidak, saya tidak boleh buat kerja, asyik melayan orang sahaja kerjanya. bukan ada urusan penting pun, bukan urusan yang berkaitan dengan rakyat, semuanya mohon balak, tanah dan projek. Bila ada staf yang strict, saya senang buat kerja untuk merancang berbagai-bagai program kerajaan dengan rakyat dan mengambil tindakan terhadap minit-minit MB. Dialah yang menentukan nak jumpa ustaz kalau tidak ada temu janji mesti selepas pukul 10 atau selepas Zohor. Biasanya pagi-pagi hari saya mesti mengadap MB untuk berbincang program-program MB, dan menyemak dan menjawab surat.

Pemandu saya juga dulu pemandu Najmuddin walaupun jawatannya kontrak, saya boleh cari pemandu lain dari PAS yang lebih saya percaya, tetapi saya tidak berbuat demikian, sebab pemandu tersebut ingin berkhidmat dengan saya. Tetapi tidak sampai sebulan, beliau memohon berhenti, saya tanya tidak suka dengan cara saya ke, dia nafikan, katanya "ok, cara ustaz saya suka, ceramah ustaz pun hebat juga, dulu saya pemandu ustaz sekarang pun ustaz tak ada masalah" cuma dia kata nak tumpu pada perniagaan. Dia sendiri yang cadangkan pemandu lain, juga bekas pemandu EXCO BN dulu, orangnya warak katanya, saya pun terima, dan bersedia berkhidmat dengan saya, katanya seronok dapat berkhidmat dengan ustaz, boleh tumpang dengar ceramah dan kuliah. Dulu tak ada peluang langsung, nak solat pun payah, maklum pemandu EXCO dulu Cina.

Semua pekerja dan kakitangan kerajaan negeri sepanjang 11 bulan di bawah PR cukup selesa dan terasa kelainannya berbanding puluhan tahun bersama BN. Saya yakin kalau pilihanraya semula diadakan di Perak, Kerusi PAS dan PKR akan bertambah banyak manakala DAP tetap kekal dengan jumlah kerusi yang sedia ada, kerana rakyat 11 bulan di bawah PR jauh lebih baik daripada 50 tahun bersama BN. Rakyat semakin bijak dalam membuat penilaian, kecuali mereka yang benar-benar buta hati dan jumud.