Saturday, October 29, 2011

Pandangan yang perlu diperbetul

Kerjasama yang wujud dalam Pakatan Rakyat mengundang pelbagai kerisauan dikalangan orang Melayu. Mereka yang lama bergelumang dalam UMNO yang ingin mendekati perjuangan PAS melahirkan kerisauan serta kebimbangan PAS diperkuda atau diperalat oleh Cina DAP !

Khusus buat rakan-rakan ku , ikuti penjelasan dari Ustaz Dr Khairudin Aman Razali selaku Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat yang menghurai berhubung Tahaluf Siyasi yang jauh perbezaan dengan apa yang dilakukan oleh UMNO dengan parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC , Gerakan dll.

Baca petikan ini dengan hati yang terbuka serta jauh dari prasangka :

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Ahli-ahli dan para penyokong PAS diingatkan agar tidak terpengaruh dengan tohmahan-tohmahan liar yang dibuat oleh Umno BN terhadap parti mereka kerana menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, mereka dituntut agar memahami dengan mendalam mengenai perjanjian tersebut kerana ia mempunyai rahsia amat besar bagi perjuangan Islam.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairudin Aman Razali At-Takiri berkata, langkah yang diambil oleh PAS mengenai perkara itu telah difikirkan dengan mendalam oleh pucuk kepimpinan parti dan selaras dengan tuntutan syarak.

Menurut beliau, asas perjanjian itu seperti yang terkandung dalam konsep "Tahaluf Siyasi" adalah berkerjasama untuk menentang kezaliman dan selagi tidak menghalalkan yang haram serta mengharamkan yang halal.

Katanya, dengan bertahaluf siyasi, PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat pasti akan memperolehi ruang yang lebih luas untuk bersama-sama menentang kezaliman, sekali gus lebih memudahkan usaha bersama untuk menumbangkan BN dalam pilihanraya, termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Ia adalah untuk kepentingan bersama bagi menentang kezaliman. Sekiranya hasil dari "Tahaluf Siyasi" ini akan merugikan PAS seperti menyebabkan PAS berada di pihak yang lemah yang boleh merugikan perjuangan Islam atau menghalalkan yang haram, PAS pasti akan melakukan kajian semula pula nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk "PAS dan Tahaluf Siyasi" pada Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia di Dewan Datuk Mohd Fadzil Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Ijtimak yang bertemakan "Mantapkan Tarbiyah Menangi Pilihanraya" itu berlangsung selama 3 hari bermula semalam dengan disertai ribuan para pemimpin pemuda PAS termasuk di peringkat pusat, negeri-negeri dan kawasan-kawasan dari seluruh negara.

Menurut Khairudin, hasil kerjasama itu bagaimanapun tidak mungkin akan merugikan pihak PAS kerana perkara itu sememangnya sentiasa dipantau oleh para pemimpin parti dengan teliti secara berterusan.

Katanya, selain itu, kesemua pihak terbabit dengan kerjasama itu termasuk para pemimpin DAP dan PKR turut bertindak demikian bagi menjaga keutuhan ikatan itu sendiri demi kepentingan bersama.

"Jadi kemungkinan yang buruk itu tidak perlu dibimbangi oleh ahli-ahli PAS kerana kesemuanya pasti berlangsung dengan baik, selaras dengan asas perjanjian itu untuk bersama-sama menentang kezaliman," katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, seluruh pemuda dan ahli-ahli PAS perlu memberikan kerjasama penuh kepada parti mereka dan Pakatan Rakyat dengan mempertingkatkan usaha untuk mencapai kemenangan pada PRU Ke-13 nanti.

"Dengan itu, barulah kita akan memperolehi kemenangan besar dalam PRU Ke-13 nanti dan kezaliman di negara ini akan dapat diatasi, sehingga usaha memberikan hak kepada yang berhak dapat kita laksanakan," ujarnya.

Matlamat PAS untuk memegang tampuk kekuasaan, tegasnya, bukanlah untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk kepentingan perjuangan Islam demi menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air kita.

"Itulah matlamat perjuangan PAS. Matlamat itu tidak akan berubah sampai bila-bila dan ia berbeza dengan pendekatan yang boleh berubah berdasarkan kepentingan semasa.

"Kini, salah satu pendekatan yang diambil oleh PAS dengan mengadakan "Tahaluf Siyasi" bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat. Kerjasama itu pasti akan menghasilkan kejayaan besar pada PRU Ke-13 nanti sekiranya ia disusuli usaha keras oleh ahli-ahli PAS untuk mencapai kemenangan" ujar beliau.