Oleh; Ibnu JJ
Leeds (United Kingdom), 19 Mac 2010 - YB Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin hari ini telah menyampaikan khutbah Jumaat dan memimpin solat Jumaat di hadapan kira-kira lebih 500 pelajar Muslim University of Leeds, UK. Khutbah yang disampaikan itu menyentuh isu perpaduan Ummat Islam yang secara jelas telah memukau ratusan sidang Jamaah yang hadir. Dato' Seri Nizar dalam rangka lawatan mewakili kepimpinan Perhubungan PAS Perak telah meluangkan masa ke University of Leeds atas jemputan Leeds Univerity Islamic Society (ISOC) untuk menyampaikan agenda penting Ummat Islam seluruh dunia.
Sidang Jamaah yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa daripada puluhan Negara luar UK itu ternyata terpegun dan tersentak dengan isi kandungan khutbah yang disampaikan beliau. Isu perpaduan Ummah sejagat ini dilihat sebagai satu agenda penting bagi mengembalikan kegemilangan Islam di seluruh dunia. Sebaik selesai berkhutbah, terdapat beberapa pelajar antarabangsa seperti daripada Arab Saudi, Turkey dan Indonesia menemui Dato' Seri dan melahirkan rasa terpegun mereka dengan isi kandungan penyampaian khutbah Jumaat hari ini.
Kehadiran Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin ke Leeds hari ini dan kesudian beliau memimpin sidang Jumaat hari ini telah melakarkan satu sejarah luar biasa. Leeds hari ini telah menyaksikan seorang pimpinan dari Gerakan Islam luar UK diberikan penghormatan untuk menyampaikan khutbah di hadapan para penuntut yang terdiri daripada latar belakang pengajian yang pelbagai. Sejarah yang dilakarkan ini juga membuktikan agenda perpaduan Ummah dan kemenangan Islam yang dibawa PAS ini bukanlah bersifat tempatan semata-mata, tetapi merupakan sesuatu yang bersifat 'alamiah dan menyeluruh.
Para penuntut yang ditemui selepas selesai solat Jumaat merakamkan rasa bertuah mereka kerana dapat bertemu dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh YB Dato' Seri yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pimpinan kerajaan dan parti politik dari Malaysia. YB Dato' Seri juga sempat berkongsikan isu-isu setempat yang berlaku di Malaysia, khususnya di negeri Perak yang jelas telah membelakangkan prinsip keadilan sejagat selaras dengan firman Allah SWT dari surah al-Maidah ayat 8;
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Dato' Seri di dalam khutbah beliau melahirkan harapan supaya semua yang hadir, membelakangkan isu perbezaan kaum, bangsa dan negara bagi mencapai perpaduan Ummah yang berteraskan aqidah Islam. Beliau juga menasihatkan para Jamaah agar tidak terpengaruh dengan sandiwara Kerajaan Sekular di negara masing-masing yang berhasrat melemahkan ikatan antara Ummat Islam yang menjadi senjata utama kekuatan Islam sejak dari zaman Nabi SAW. Isu di Palestine yang dipetik sebagai contoh dilihat sebagai satu bukti nyata bagaimana perpecahan Ummat Islam boleh meruntuhkan agama itu sendiri.
Persinggahan Dato' Seri Nizar yang turut disertai Isteri beliau, Datin Seri Fatimah Taat, anak beliau, Ustaz Syahid Muhammad Nizar dan wakil Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Al-Fadhil Ustaz Fakhrulrazi Mohd Mokhtar. Lawatan ringkas mereka ke Leeds diakhiri dengan pertemuan tidak rasmi dengan anak-anak Malaysia yang menuntut di Universiti ini.
Di Hantar Al-Hakimi As-Syah Alami
No comments:
Post a Comment